Kerajaan Sarawak Usaha Tingkat Pengeluaran Lada Menjelang 2030

on
Categories: News & Media

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan pengeluaran lada dalam variasi pelbagai menjelang tahun 2023.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Kerajaan Sarawak optimis meneruskan perkembangan industri lada di negeri ini bagi meningkatkan pertumbuhan bidang ekonomi agrikultur ke arah pertanian moden.

“Sekarang ini kita mengfokuskan untuk mempelbagaikan tanaman yang mana ia sebagai langkah kawalan makanan sekali gus menjadi rantaian bekalan lengkap termasuk ternakan yang terjamin dalam pasaran.

“Oleh itu, kita sedang melihat bagaimana untuk mewujudkan rantaian bekalan yang lengkap untuk tanaman lain dan salah satunya adalah lada, getah, kelapa, nanas dan sebagainya.

“Dengan pendekatan baharu ini, saya percaya kita dapat mewujudkan terminal makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Lesen antara Kerajaan Sarawak bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Saribas di Bilik Jawatan kuasa 1, Tingkat 3, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Isnin.

Jelasnya Dato Sri Dr. Stephen lagi, inisiatif terbabit juga mengetengahkan peluang golongan muda untuk berkecimpung ke arah bidang pertanian moden bagi menggalakkan pertumbuhan sumber janaan ekonomi menerusi industri perladangan.

“Ia adalah selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dalam bidang pertanian komersial.

“Usaha kita adalah untuk memikat golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti bercucuk tanam seperti mana yang saya tekankan sebelum ini iaitu pertanian moden yang dapat membantu menjana pendapatan,” jelasnya.

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau memberitahu kerjasama tersebut merupakan perancangan untuk membangunkan aktiviti tanaman komersial secara holistik.

“Setakat ini kita mempunyai 28 PPKS, yang mana kita mempunyai kekuatan seramai 176,000 ahli,” ujarnya.

Program tersbeut turut disusuli dengan majlis menandatangani perjanjian antara PPK Saribas dengan Carus Pepper Sdn Bhd.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Martin Ben dan Setiausaha Tetap, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit.-EDISI UKAS

0